Mohd Redzuan menyampaikan peralatan persekolahan sumbangan TNB kepada murid pada program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Dewan Anggerik, Melekek Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Mohd Redzuan menyampaikan peralatan persekolahan sumbangan TNB kepada murid pada program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Dewan Anggerik, Melekek Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Setakat 24 Mac lalu, kerajaan hanya merekodkan 19 peratus rakyat sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ia membabitkan pendaftaran 6,529,706 individu berbanding inisiatif bagi membentuk sekurang-kurangnya 80 peratus komuniti yang memiliki imuniti untuk menentang pandemik terbabit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata, kerajaan akan melancarkan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah.

"Program itu akan dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin ini.

"Inisiatif ini membabitkan seluruh anggota komuniti bagi mengekang penularan Covid-19 dalam komuniti dengan menggunakan pendekatan 'bawah-ke-atas'.

"Ia bagi memperkasa komuniti untuk melaksanakan aktiviti pemantauan dan tindakan bagi mengurangkan penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Ceria ke Sekolah Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Dewan Anggerik, Melekek di sini, hari ini.

Seratus murid dalam Parlimen Alor Gajah menerima beg dan peralatan sekolah sumbangan TNB.

Turut hadir Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir Husaini Husin.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, ABC-19 berfungsi sebagai serampang dua mata yang melaksanakan program pemerkasaan komuniti, selain menggalas tanggungjawab sebagai Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi menggalakkan anggota komuniti mendaftar bagi mendapatkan vaksin.

Menurut beliau, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diarahkan mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang berfungsi sebagai 'bilik perang' bagi melancarkan gerak gempur ABC-19.

"Sehubungan itu, saya gesa rakyat mendapatkan maklumat yang betul mengenai vaksin Covid-19 dan yakin untuk mendapatkannya kerana ia diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA)," katanya.

Berkaitan belia tempatan mengikuti program latihan perindustrian di Jepun, beliau berkata, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) di bawah JPM bekerjasama dengan 'Japan Graduates Association of Malaysia' (JAGAM) bagi mengenal pasti bidang latihan itu.

"Jepun hanya membenarkan rakyat lapan negara asing bekerja di negara itu dan kita minta kerajaan atau industri di negara itu memberikan latihan kepada belia kita kerana latihan dikira sebagai bekerja.

"Yayasan Peneraju membantu usaha mendapatkan kerjasama kerajaan dan peneraju perindustrian Jepun untuk menggunakan tenaga mahir rakyat kita dalam industri yang dibawa oleh pelabur Jepun di negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 3:25 PM