YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO FAIL
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. FOTO FAIL
Hayati Ibrahim


Kuala Lumpur: Rakyat diseru bersama-sama berganding bahu untuk menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Vaksinasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda menaruh sepenuh keyakinan dan berbekalkan ikhtiar serta usaha menerusi PICK dan Program Pemerkasaan Komuniti, negara akan bangkit semula membina masa depan lebih gemilang.

"Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi pandemik Covid-19 dan menunaikan kewajipan kita untuk melindungi negara tanah tumpah darah kita.

"Dalam kesempatan ini beta turut menzahirkan kesyukuran tidak terhingga di atas usaha gigih kerajaan beta membawa vaksin yang bakal berupaya melindingi kita daripada bahaya Covid-19," titah baginda pada Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, usaha melawan pandemik Covid-19 wajar digalas menerusi kerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan dan seluruh rakyat serta melalui semangat setia kawan yang erat daripada rakyat Malaysia.

"Justeru beta menyambut baik usaha kerajaan beta dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti (yang mana) menerusi program ini seluruh lapisan rakyat dan pemimpin komuniti boleh melibatkan diri dalam mengurang dan mencegah jangkitan kes Covid-19.

"Di samping itu, inisiatif dikenali sebagai Agen Rasmi Covid-19 (ABC-19) bakal menyaksikan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti," titah baginda.

Dalam pada itu, peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 tahun ini turut membawa cabaran lebih getir kepada anggota barisan hadapan dan fasiliti kesihatan negara.

Titah baginda, keadaan itu turut mengubah falsafah kehidupan rakyat Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 4:05 PM