Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir dengan kerjasama Majlis Tindakan Bencana Negara (NADMA). FOTO IHSAN NADMA
Latih Amal (Tabletop) Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir dengan kerjasama Majlis Tindakan Bencana Negara (NADMA). FOTO IHSAN NADMA
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Semua agensi berkepentingan di negara ini perlu memperkasakan koordinasi dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia bagi berdepan sebarang bencana.

Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Meor Ismail Meor Akim berkata, risiko bencana termasuk membabitkan empangan adalah penting untuk diketahui oleh komuniti.

Menurutnya, antara punca berlaku bencana disebabkan hujan berterusan di hulu sungai yang mengakibatkan limpahan kandungan air, berlaku gempa bumi dan kegagalan struktur empangan.

"Tahap kesiapsiagaan sesebuah agensi kerajaan yang berkaitan termasuk orang awam dalam menghadapi bencana adalah faktor penentu bagi memastikan sesuatu misi dipertanggungjawabkan itu berjaya atau sebaliknya.

"Sehubungan itu, Nadma selaku agensi peneraju dalam pengurusan bencana negara mengadakan program latih amal ini dengan melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Ianya bertujuan bagi meningkatkan keupayaan semua pihak supaya sentiasa bersedia untuk melaksanakan operasi berkaitan bencana dengan berkesan di samping berdaya tahan (resilient) terhadap bencana," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Latihan Amal Bencana (TTX) Empangan Kenyir 2022 diadakan membabitkan 26 agensi persekutuan dan negeri selain 14 agensi peringkat daerah dengan kerjasama Nadma, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan Terengganu.

Turut hadir, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, Pengurus Besar TNB Terengganu, Mohamad Mohyddin Mohd Noor, Pengarah Pertahanan Awam Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu Muhammad Basri Kamarazaman.

Menurutnya, objektif latihan berkenaan juga bertujuan memperkasakan koordinasi pelbagai agensi dalam menghadapi bencana selain meningkatkan kefahaman dan keupayaan setiap agensi kerajaan yang berkaitan terhadap kaedah serta strategi pengendalian bencana.

Katanya, ia juga boleh memantapkan peranan dan tanggungjawab setiap agensi kerajaan berkaitan dalam mengatur gerak kerja sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana berlaku.

"Selain menambahbaik strategi pengendalian bencana di peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 6:28 PM