JURURAWAT menyediakan suntikan vaksin Covid-19 di hospital di Kuala Lumpur, Isnin lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JURURAWAT menyediakan suntikan vaksin Covid-19 di hospital di Kuala Lumpur, Isnin lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia dikenal pasti mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 berdasarkan statistik diperolehi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, hanya 16 peratus rakyat negara ini masih tidak pasti sama ada mahu atau tidak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Sasaran kita adalah 80 peratus rakyat negara ini divaksinasi. Oleh itu, maklumat berkaitan program vaksinasi perlu diberikan dengan tepat supaya rakyat tidak rasa was-was selain kerjasama semua pihak penting untuk menjayakan program ini.

"Maklumat yang betul akan memberi keyakinan kepada rakyat bagi menerima suntikan vaksin Covid-19," katanya kepada selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (Khas) Bil 1 di sini, tadi.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan vaksin Covid-19 yang digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berikutan ia diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Setiap individu perlu bekerjasama dengan kerajaan dan menerima suntikan vaksin Covid-19... tidak perlu pilih mana-mana vaksin dan jika 'available' terus ambil ," katanya.

Mohd Redzuan berkata Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) dianggotai badan sukarela diwujudkan bagi menggalak dan membantu komuniti untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Selain itu katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diminta mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang akan bertindak sebagai 'war room' bagi melancarkan proses gerak gempur ABC-19.

"ABC-19 akan uruskan pendaftaran vaksinasi dan mereka adalah sukarelawan yang berada di peringkat daerah dan negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:09 PM