ASMADI menyampaikan bantuan segera RM2,000 kepada
ASMADI menyampaikan bantuan segera RM2,000 kepada
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: "Syukur ada pihak tampil membantu ketika saya dalam kesusahan apabila terputus pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

"Kucing saya sebanyak 100 ekor terputus bekalan makanan, ada yang sakit tidak dapat dirawat disebabkan tiada duit untuk membeli ubat," kata Siti Endon Ismail, 58.

Dia yang terkenal sebagai penghibur maskot di pantai Teluk Cempedak, di sini, berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dia tidak dapat bekerja terutama apabila pantai peranginan Teluk Cempedak ditutup kepada pengunjung.

Katanya, untuk menyara hidup bersama kucing belaan dia bergantung kepada bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain sedikit wang simpanan yang ada.

"Namun sejak beberapa hari ini, kewangan saya semakin meruncing hingga memaksa tindakan drastik mengibarkan bendera putih dan merah.

"Saya perlukan sedikit bantuan untuk menyediakan makanan 100 kucing yang tinggal bersama saya kini, setiap hari haiwan berkenaan memerlukan nasi dengan lauk ikan selain makanan pallet (makanan kucing).

"Saya lapar tidak mengapa yang penting semua kucing saya ada makanan setiap hari," katanya yang menyewa rumah di Kubang Buaya, di sini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman, di sini, hari ini.

ASMADI melihat kucing yang tinggal bersama Siti Endon. FOTO Mohd Rafi Mamat
ASMADI melihat kucing yang tinggal bersama Siti Endon. FOTO Mohd Rafi Mamat

Pada pertemuan itu bantuan segera sebanyak RM2,000 disampaikan. Turut diberikan bantuan barangan keperluan asas termasuk seguni makanan kucing.

Asmadi berkata, Siti Endon disenaraikan sebagai golongan fakir yang melayakkannya menerima bantuan bulanan bagi menampung pendapatan dia yang berkerja sebagai penghibur maskot di pantai Teluk Cempedak.

"Kita akan terus membantu Siti Endon yang juga seorang ibu tunggal, dia tinggal di rumah sewa selain turut memelihara 100 ekor kucing. Pendapatannya kini terputus berikutan PKP 3.0.

"Disebabkan terlalu memerlukan bantuan dia (Siti Endon) bertindak mengibarkan bendera putih dan merah bertujuan mengharapkan sumbangan daripada pihak yang prihatin," katanya yang meluangkan masa lebih 30 minit bertemu ibu tunggal berkenaan.

Beliau berkata, pegawai MUIP Cawangan Kuantan akan terus memantau kehidupan ibu tunggal berkenaan dalam memastikan dia tidak terus berhadapan kesempitan hidup.

Berita berkaitan

'Sekurang-kurangnya bantulah kucing saya' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:53 PM