Omar Ahmad

Johor Bahru: Mailo dan Barny daripada unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima pingat dan sijil penghargaan Ketua Polis Johor pada Sambutan Hari Polis ke -214 peringkat negeri, hari ini.

Anjing baka German Shepherd itu masing-masing berusia tiga tahun empat bulan dan tiga tahun dua bulan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua anjing ini menunjukkan khidmat cemerlang dalam tugasan mengesan mayat dalam kes berprofil tinggi.

Katanya, Mailo dan Barny membantu polis Johor dalam mengesan mayat seorang wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian di Kota Tinggi pada awal bulan ini.

"Anjing ini sudah bersama Kontinjen Johor sejak dua tahun lalu dan banyak memberi sumbangan. Peranan unit K9 ini banyak berjasa bukan sahaja kepada Kontinjen Johor tetapi kepada PDRM di seluruh negara.

"Dalam kes mencari dan mengesan mayat, unit ini memainkan peranan penting. Sebab itu kita kali ini memberi sumbangan kepada pengendali serta anjing itu sendiri.

"Polis Johor mempunyai lapan anjing di bawah Unit K9 yang boleh berkhidmat sehingga usia 10 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mailo dikendalikan oleh Lans Koperal K. Thiru manakala Barny dikendalikan oleh Lans Koperal Calvin Maluni.

Pada majlis tersebut, seramai 139 menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Johor termasuk sepuluh pengamal media.

BARNY (kanan) bersama pengendali, Lans Koperal Calvin Maluni dan Mailo (kiri) bersama pengendali Lans Koperal K.Thiru menerima pingat dan sijil penghargaan Ketua Polis Johor pada Sambutan Hari Polis ke -214 peringkat negeri Johor di IPK Johor. FOTO Omar Ahmad
BARNY (kanan) bersama pengendali, Lans Koperal Calvin Maluni dan Mailo (kiri) bersama pengendali Lans Koperal K.Thiru menerima pingat dan sijil penghargaan Ketua Polis Johor pada Sambutan Hari Polis ke -214 peringkat negeri Johor di IPK Johor. FOTO Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 3:37 PM