Muhammad Norman Haikal Mazlan
Muhammad Norman Haikal Mazlan
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Peribahasa kecil-kecil cili api sesuai buat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama Marang ini yang berani dan menyertai pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Pantai Jambu Bongkok di sini, hingga ditemui.

Kemampuan Muhammad Norman Haikal Mazlan, 14, atau mesra dipanggil Norman mengendalikan jet ski bersama bapanya, Mazlan Mamat, 58, ternyata membantu pasukan penyelamat yang ketika itu berdepan kesukaran berikutan laut yang bergelora.

Keberanian Norman melayakkan dia menjadi antara penerima sijil penghargaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 peringkat Marang yang disampaikan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris, 25 Mac lalu.

Norman berkata, langsung tidak terlintas di fikirannya, SAR pada 25 Disember tahun lalu itu dihargai sedemikian rupa kerana niatnya hanyalah mahu membantu pasukan penyelamat yang sukar menggunakan bot disebabkan laut bergelora.

"Saya bersama ayah turun dengan niat untuk tolong tetapi apabila dimaklumkan menjadi salah seorang penerima sijil, memang rasa teruja dan terharu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Muhammad Norman Haikal Mazlan, 14, ketika ketika Majlis Sambutan Hari Polis Ke 214 peringkat Daerah Marang di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada 25 Mac lalu. FOTO IHSAN POLIS
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Muhammad Norman Haikal Mazlan, 14, ketika ketika Majlis Sambutan Hari Polis Ke 214 peringkat Daerah Marang di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada 25 Mac lalu. FOTO IHSAN POLIS

"Sebenarnya, ayah yang selalu turut serta dalam operasi SAR sekiranya berlaku kejadian lemas, namun pada hari kejadian, ayah mengajak saya untuk bersama-samanya membantu.

"Ini pengalaman pertama saya dan tempoh tiga hari bersama pasukan penyelamat, memberi satu pengalaman baharu kepada saya, malah saya kagum dengan kegigihan mereka yang berusaha mencari mangsa tanpa mengira masa," katanya ketika dihubungi.

Menurut Norman yang mahir mengendalikan jet ski sejak berusia enam tahun, penghargaan itu membuatkan dia lebih bersemangat untuk membantu orang yang memerlukan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, kemampuan pelajar terbabit mengendalikan jet ski bersama bapanya membantu pihaknya menamatkan misi mencari mangsa lemas pada hari ketiga operasi SAR.

Katanya, Norman bersama kumpulan jet ski yang terdiri daripada Polis Marin dan orang awam menjumpai mayat mangsa kira-kira 500 meter dari pesisir Pantai Jambu Bongkok di sini, pada jam 6.30 petang, 27 Disember 2020.

"Dalam keadaan laut yang bergelora dan ombak kuat pada musim tengkujuh, pelajar ini sanggup menggadaikan nyawa untuk turut serta dalam operasi SAR ini.

"Sikap ini wajar dicontohi anak-anak muda dan saya berharap lebih ramai anak muda dapat menabur bakti kepada masyarakat dan negara tanpa mengharapkan balasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 6:03 PM