TAKIYUDDIN pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TAKIYUDDIN pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk mengenakan kompaun terhadap individu yang gagal hadir janji temu bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini dasar kerajaan mengenai suntikan berkenaan adalah secara sukarela.

Bagaimanapun katanya, terdapat jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mengendalikan isu vaksin.

"Terpulang kepada jawatankuasa berkenaan. Namun, kita dukacita kerana ramai penduduk yang gagal hadir janji temu suntikan vaksin termasuk rakyat di Kelantan.

"Saya percaya kerajaan sedang memikirkan keadaan itu sebab kita tidak tidak mahu berlaku pembaziran. Mungkin sistem perlu dibuat supaya mereka yang tidak hadir dapat digantikan kepada individu lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pengagihan sumbangan kepada penerima vaksin Parlimen Kota Bharu di pejabatnya, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, cadangan mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), akan dibincangkan oleh JKJAV dan CITF.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata, bagaimanapun langkah mengenakan penalti terbabit dan mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19, dilihat hanya boleh diambil selepas pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka, dilaksanakan sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 3:05 PM