FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rosli Ilham


Chukai: Enam sekawan dilapor tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing sejak Isnin lalu, dengan sebuah bot nelayan.

Mohd Hafizol Hisham Zakaria, 29, yang juga tekong bot; Mohamad Shahrul Ainmie, 19; Mohd Samerin Suhaimi, 29; Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19; Rosidi Mohamad, 22; dan Mohamad Zukanain Mohamat Nor, 20, keluar memancing di kawasan perairan Kuala Kemaman.

Mereka masing-masing tinggal di Kampung Berenjut dan Gong Pauh Kemaman, di sini.

Laporan kehilangan mereka dibuat kakak kepada Mohamad Shahrul iaitu Nurul Nasuha Amran, 28, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada 1.40 tengah hari, hari ini.

Menurut Nurul Nasuha, adiknya pertama kali memancing di laut dan memberitahu melakukan aktiviti itu bersama rakan sekerja di Laguna Ikan Bakar, di sini.

"Dia beritahu ke laut selama dua hari tetapi malam tadi saya cuba hubungi dia, namun gagal. Malah semua talian telefon rakannya juga tidak dapat dihubungi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia bimbang keselamatan adiknya bersama rakan dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Saya dimaklumkan laut bergelora sejak beberapa hari lalu dan angin kencang. Saya bimbang perkara tidak diingini berlaku ke atas mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat menerusi pasukan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan sejak malam tadi selepas dimaklumkan seorang ahli keluarga mangsa.

Katanya, maklumat kehilangan disalurkan kepada semua aset Maritim yang melakukan rondaan rutin dan pencarian turut dibantu Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.

"Pengesanan dibuat dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman," katanya yang memberitahu kelajuan angin timur laut antara 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak boleh mencapai sehingga 4.5 meter.

Untuk itu, beliau menasihati orang ramai yang melakukan sebarang aktiviti di laut supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:32 PM