RASHIDI dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di kawasan 11 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai. FOTO Rosli Ilham.
RASHIDI dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di kawasan 11 batu nautika dari Kuala Kemaman, Chukai. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SEORANG pemancing dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot pada jarak 11 batu nautika dari Kuala Kemaman dekat Chukai, petang semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, mangsa, Muhammad Rashidi Basiran, 32, yang berasal dari Selangor dipercayai terjatuh pada 2.30 petang.

Menurutnya, mangsa pergi memancing menaiki bot bersama lapan lagi rakannya sebelum disedari terjatuh ke dalam laut.

“Rakan mangsa yang menyedari kehilangan mangsa kemudiannya datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman dimaklumkan kejadian itu 7.30 malam,” katanya.

Rashidilhadi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan pada 9.30 malam dengan melakukan pencarian di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.

Beliau berkata, selain APMM, SAR turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai serta Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman.

“Sehingga kini, mangsa belum ditemui dan gerakan SAR itu akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.

“Orang ramai atau nelayan yang menemui sebarang objek di tengah laut diminta menghubungi polis atau talian kecemasan dengan segera.

“Selain itu, kami menasihatkan orang ramai yang melakukan sebarang aktiviti di laut supaya menitikberatkan aspek keselamatan sepanjang masa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 12:35 AM