Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan, tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 10 tahun di dalam semak di Kuala Nerus, pada 2 petang, 24 Februari 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

REMAJA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
REMAJA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Adila Mohd Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 5:28 PM