LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Bukit Mertajam: Kertas siasatan membabitkan kes sekumpulan pegawai polis yang melepaskan suspek Macau Scam pada bulan lepas, hampir siap dan akan diserah kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya ketika ini hanya menunggu laporan daripada Jabatan Kimia berhubung tandatangan yang terdapat pada beberapa dokumen, kononnya untuk menyerah 11 suspek warga China kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Siasatan kes itu sebenarnya telah siap, cuma sekarang ini kami hanya menunggu laporan daripada Jabatan Kimia sahaja lagi... Laporan itu berkaitan tandatangan yang terdapat pada dokumen yang mereka gunakan dalam kes itu.

"Kami menjangkakan kertas siasatan kes dapat dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat, untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut, sama ada empat pegawai polis yang disiasat dalam kes itu pernah terbabit dalam kes sedemikian sebelum ini.

"Cuma setakat ini, kami terima satu laporan polis membabitkan kumpulan pegawai (polis) berkenaan, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka sama ada terbabit kes sedemikian sebelum ini," katanya.

Sahabudin berkata, siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

Empat pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut yang berpangkat Asisten Komisioner dan inspektor, ditahan pada 12 dan 15 Februari lalu, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Polis kemudian menahan tiga orang awam dan seorang kakitangan JIM, yang mana semua lapan lelaki berusia 20 hingga 60-an tersebut dibebaskan dengan jaminan polis, sementara pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang 'pegawai' JIM, untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti sepatutnya.

Siasatan setakat ini mendapati, terdapat pelanggaran serius kepada prosedur operasi standard (SOP) pegawai polis, dalam pengendalian serta penyerahan semua 11 suspek Macau Scam.

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan mengesyorkan, supaya pegawai terbabit ditahan kerja untuk membolehkan siasatan yang lebih terperinci dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 5:20 PM