Sahabudin mengulas mengenai seorang pegawai polis di Pulau Pinang bersekongkol dalam kegiatan jenayah dengan melepaskan suspek Macau Scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Sahabudin mengulas mengenai seorang pegawai polis di Pulau Pinang bersekongkol dalam kegiatan jenayah dengan melepaskan suspek Macau Scam ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lapan individu termasuk empat pegawai polis sudah ditahan untuk membantu siasatan dakwaan melepaskan 11 suspek kes Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

Difahamkan, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan dua inspektor dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah seorang anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang dan tiga orang awam dipercayai mempunyai kaitan dengan empat pegawai polis terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya kini sedang melakukan siasatan terhadap empat pegawainya yang terbabit dalam kejadian melepaskan suspek kes Macau Scam.

"Seramai lapan individu termasuk orang awam ditahan membabitkan kes berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kita sudah serahkan kertas siasatan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang sebelum ini, namun diserahkan kembali untuk melengkapkan siasatan termasuk pengesahan dari segi teknikal," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sahabudin berkata, beliau juga sudah mencadangkan supaya pegawai yang terbabit itu ditukarkan ke jabatan lain.

"Kami masih tunggu jawapan pertukaran daripada Bukit Aman dan mereka tidak akan ditempatkan dalam bahagian siasatan dan operasi.

"Saya memang kesal dengan tindakan mereka dan sudah mencadangkan supaya pegawai yang terbabit ditukarkan ke jabatan lain," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan pegawainya terbabit dalam kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di Pulau Pinang.

Siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mendapati wujud kesalahan dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:29 PM