Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Bagi memastikan masyarakat Orang Asli di pedalaman negeri ini tidak tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19,

Kerajaan Perak akan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara bergerak.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kaedah itu bertujuan memberi kemudahan kepada golongan berkenaan terutama yang berada jauh di kawasan pedalaman dan mengalami kesukaran untuk keluar bagi mendapatkan suntikan.

"Mereka masyarakat orang asli yang ada di luar seperti di Tapah dan Kampar dekat (dengan PPV), tetapi yang ada di pedalaman seperti di Hulu Perak, RPS Kemar, Dala, Sungai Tiang, Sungai Kejar dan Pos Bainun sukar untuk mereka keluar.

"Jadi, kita wujudkan PPV bergerak untuk masuk ke dalam bagi memudahkan masyarakat dari perkampungan Orang Asli untuk menerima vaksin," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran logo Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

SAARANI (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (tengah) memegang logo tanda simbolik perasmian pada Majlis pelancaran logo Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam
SAARANI (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (tengah) memegang logo tanda simbolik perasmian pada Majlis pelancaran logo Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, hasil perbincangan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin semalam kerajaan negeri bersetuju menambah jumlah PPV bagi memastikan tempoh pemberian vaksin dapat diselesaikan hujung tahun ini.

"Fasa kedua membabitkan orang awam, sudah tentu tidak cukup PPV sedia ada di pusat kesihatan yang juga mempunyai rawatan harian lain setiap hari.

"Jadi, kerajaan negeri akan membuat kajian untuk menambah bilangan PPV bagi membolehkan lebih ramai orang dapat datang mengambil vaksin," katanya.

SUNTIK vaksin covid-19. FOTO arkib NSTP
SUNTIK vaksin covid-19. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:56 PM