GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan terhadap Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan PKPD itu akan bermula esok sehingga 11 April depan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar.

"Saringan secara bersasar akan dilaksanakan ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti ini.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju PKPD di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kampung Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan bermula 29 Mac sehingga 11 April 2021," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021.

Katanya, kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat 29 Mac 2021.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan 3,787 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 834 kes positif direkodkan.

"KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan yang membabitkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir dilaporkan pada 25 Mac lalu. Namun, peningkatan kes tidak membabitkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara itu.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021 kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan pada 29 Mac 2021," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKP di Daerah Nabawan, Sabah pada 30 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.

Selain itu, katanya, PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang turut ditamatkan pada 29 Mac 2021 seperti yang dijadualkan kecuali di Kampung Juara yang dilanjutkan tempoh PKPD bermula 30 Mac sehingga 6 April 2021.

"Selain itu, penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak 30 Mac 2021 seperti yang dijadualkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 5:56 PM