SITI Arbi Katan (kanan) dan Muhammad Aiman Syafiq (kiri) menguruskan Radzali Mohammad (tengah) yang terlantar akibat kemalangan jalan raya di rumah mereka di Felda Bukit Cherakah. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
SITI Arbi Katan (kanan) dan Muhammad Aiman Syafiq (kiri) menguruskan Radzali Mohammad (tengah) yang terlantar akibat kemalangan jalan raya di rumah mereka di Felda Bukit Cherakah. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Langit tidak selalunya cerah. Begitu perumpamaan buat ibu empat anak apabila suaminya yang menjadi 'tulang belakang' kepada keluarga kini koma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, Julai tahun lalu.

Siti Arbi Katan, 50, dibantu dua anak lelaki, Muhammad Aiman Syafiq, 20, dan Aimim Iman, 16, menguruskan Radzali Mohammad, 57, yang terlantar dan hilang daya ingatan.

Bercerita lanjut mengenai kemalangan yang menimpa Radzali, suri rumah itu berkata, suaminya yang bekerja sebagai 'foreman machine' di sebuah kilang di Rantau Panjang, Klang, dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum motosikal ditunggangnya dipercayai terjatuh di tepi jalan di Jalan Bukit Kapar.

Menurutnya, suaminya terpaksa menjalani pembedahan di bahagian otak di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 24 Ogos tahun lalu.

"Kemalangan itu mengubah sepenuhnya kehidupan suami. Daripada sihat dan mampu menyara keluarga, kini dia koma dan lumpuh seluruh badan.

"Ketika ini, saya dan anak-anaklah yang menjaganya sepenuh masa kerana dia memerlukan penjagaan rapi," katanya ketika ditemui di rumahnya Felda Bukit Cherakah, di sini, hari ini.

Dalam linangan air mata, Siti Arbi berkata, Muhammad Aiman Syafiq yang juga anak ketiga dari empat beradik turut berkorban dengan berhenti kerja sebagai pekerja kontrak sejak kejadian itu.

"Dia (Muhammad Aiman Syafiq) dan adik bongsunya (Aimim Iman) akan bergilir-gilir menguruskan keperluan ayah mereka.

"Selama suami sihat, dia akan pastikan segala permintaan kami ditunaikan. Apabila dia jatuh sakit, kami bersedia korbankan masa, tenaga dan wang untuk menjaganya," katanya.

Siti Arbi berkata, dia sekeluarga kini bergantung kepada bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) suaminya sebanyak RM1,500 sebulan.

"Dengan bantuan ini, saya perlu menanggung perbelanjaan ubat-ubatan sebanyak RM300 sebulan manakala susu khas pula RM70 sehari untuk satu tin.

"Walau mana pun keadaannya, dia tetap suami saya dan bapa kepada anak-anak. Selagi kudrat masih ada, kami tidak akan tinggalkan dia walaupun sesaat," katanya.

Kata Siti Arbi, dia sekeluarga berdoa setiap hari kepada Allah SWT supaya suaminya kembali sembuh dan dapat menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam (12010024661953) atas nama Siti Arbi Katan atau menghubunginya di talian 013-3069781.

Sementara itu, Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata, pihaknya meluluskan bantuan keperluan perubatan bagi meringankan beban perbelanjaan keluarga ini.

"Bantuan perubatan berkala ini adalah berupa susu khas, lampin pakai buang, serta keperluan lain seperti yang dicadangkan oleh pegawai perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 5:09 PM