Rohani dan Noor Rizan (kanan) ketika ditemui pemberita. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Rohani dan Noor Rizan (kanan) ketika ditemui pemberita. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: "Saya sudah nasihatkan dia supaya jauhkan diri daripada aktiviti air dan tempat tinggi tetapi dia tetap berdegil kerana minatnya," kata Rohani Omar, 46, ibu kepada Mohammad Ashrul Aswan, 23, yang ditemui lemas di Monkey Beach, hari ini.

Menurutnya, doktor menyarankan arwah supaya tidak terbabit aktiviti sebegitu kerana mempunyai penyakit sawan.

Katanya, disebabkan itu dia kerap menasihatkan Mohammad Ashrul supaya mencari aktiviti lain untuk dilakukan kerana enggan berdepan sebarang kemungkinan.

"Saya reda dan bersyukur jasadnya dijumpai walaupun sudah tidak bernyawa,: katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.

Terdahulu mayat Mohammad Ashrul yang juga pengendali jet ski ditemui pasukan penyelamat pada 10.25 pagi hari ini, selepas hilang ketika cuba menyelamatkan dua pelancong selepas jet ski ditunggang mereka terbalik, semalam.

Rohani berkata, kali terakhir dia bertemu anak kedua daripada tiga beradik itu pada Rabu lalu dan sempat berpesan supaya dia menjaga diri dan kesihatan.

"Hinggalah pada 4.40 petang semalam ketika di tempat kerja di Persiaran Gurney, saya menerima panggilan daripada penduduk di Teluk Bahang mengenai kejadian menimpa arwah dan terus bergegas pulang.

"Arwah anak yang baik serta pandai berenang. Dia pun belum cadang berkahwin kerana mahu bekerja serta mengumpul wang bagi membantu keluarga," katanya.

Sementara itu, Noor Rizan Mohd Yusoff, 61, berkata, dia adalah kenalan rapat Rohani selepas mereka berpindah dari Tanjung Dawai, Kedah ke Teluk Bahang beberapa tahun lalu dan mengenali Mohammad Ashrul sebagai seorang anak yang taat.

Katanya, Mohammad Ashrul memang dikenali dalam kalangan penduduk sebagai anak muda yang peramah dan tidak lekang dengan senyuman sehingga digelar sebagai 'Mat Jambu'.

"Tiada lagi Mat Jambu yang suka senyum, dia pergi sebagai seorang hero kerana menyelamatkan nyawa orang lain ," katanya lagi.

Berita berkaitan

Pengendali jet ski hilang ditemui lemas

Pemuda bantu pelanggan jatuh jet ski hilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 4:09 PM