Pasukan SAR menunggu mayat Wan Nashaifudin dibawa ke daratan selepas ditemui terapung berhampiran Pantai Rhu Kubur, Marang petang hari ini. Foto Rosli Ilham
Pasukan SAR menunggu mayat Wan Nashaifudin dibawa ke daratan selepas ditemui terapung berhampiran Pantai Rhu Kubur, Marang petang hari ini. Foto Rosli Ilham
Rosli Ilham

Marang: Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi bersama enam rakannya di Pantai Jambu Bongkok, kelmarin dijumpai petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, mayat Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, ditemui terapung pada 6.30 petang berhampiran Pantai Rhu Kubur.

Menurutnya, mayat terbabit ditemui pasukan jet ski yang melakukan pencarian pada jarak kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Berikutan ombak yang kuat, usaha membawa mangsa ke darat mengambil masa selama satu setengah jam.

"Pasukan operasi terpaksa berjalan kami hampir tiga kilometer ke tempat penemuan mayat berikutan sekitar pantai terbabit tidak mempunyai laluan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Zain berkata, mayat Wan Nashaifudin berjaya dibawa naik ke daratan kira-kira 8 malam sebelum ahli keluarga mangsa dipanggil untuk membuat pengecaman.

"Keluarga mangsa mengesahkan mayat itu adalah Wan Nashaifudin yang dilaporkan hilang kelmarin.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Wan Faezah Wan Latif berkata, dia bersyukur apabila mayat adiknya itu berjaya ditemui dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari adiknya itu.

"Terima kasih kepada semua termasuk rakan media yang turut membantu semoga pertolongan daripada semua mendapat pahala daripada yang maha berkuasa.

"Jenazah adik akan dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan di sana," katanya.

Berita berkaitan

Keluarga terharu SAR Wan Nashaifudin diperluas

Ombak kuat cabaran pencarian dua lelaki dikhuatiri lemas

Dua helikopter kesan lelaki dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 9:13 PM