LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Zuhainy Zulkiffli


Balik Pulau: Pengendali jet ski yang dilaporkan hilang di Monkey Beach di sini, semalam ditemui lemas pada 10.25 pagi hari ini.

Mohammad Ashrul Aswan, 23, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohammed berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa juga ditamatkan pada 11.10 pagi oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

"Turut terbabit dalam operasi ini ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Angkatan Pertahanan Awam.

"Kami turut menerima bantuan daripada nelayan tempatan bersama enam bot," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan gerakan mencari mangsa hilang dilakukan JBPM sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.07 petang semalam.

Mohammad Ashrul dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada jet ski yang ditunggangnya ketika cuba menyelamatkan dua pelancong.

Berita berkaitan

Pemuda bantu pelanggan jatuh jet ski hilang [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 2:20 PM