GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 di Mahkamah Sesyen Kajang kerana melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai ditetapkan di kawasan tadahan air serta melepaskan bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke Sungai Balak pada 28 Oktober tahun lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Nor Aziah Jaafar pada kenyataan memaklumkan, hukuman denda itu dijatuhi Hakim Mohd Kafli Che Ali selepas syarikat selaku orang kena saman (OKS) yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan.

Katanya, bagi pertuduhan pertama, syarikat didakwa melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai sepertimana yang ditetapkan mengikut Peraturan 11(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai sepertimana yang ditetapkan mengikut Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Pertuduhan ketiga pula, syarikat didapati melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai daripada premis ke dalam alur air yang mana akan mengalir ke dalam Sungai Balak tanpa lesen," katanya hari ini.

Menurut beliau, bagi pertuduhan keempat, syarikat terbabit didapati gagal patuh kepada spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian.

Bagi pertuduhan kelima, syarikat didapati gagal memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai kejadian pembuangan efluen perindustrian secara tidak sengaja ke dalam perairan pedalaman dalam tempoh tidak lebih daripada enam jam.

"Manakala untuk pertuduhan keenam, syarikat didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tak terlarut campur dengan air ke dalam perairan pedalaman," katanya.

Beliau berkata, bagi setiap pertuduhan, syarikat boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut beliau, kes itu antara 15 kes kecemasan pencemaran sumber air pada tahun lalu yang dapat dihalang daripada menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas.

"JAS Selangor sentiasa akan mengambil tindakan dan tidak berkompromi kepada penjenayah alam sekitar. Kami juga berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat berkaitan aktiviti yang mencemarkan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 3:42 PM