DARI kiri, Aren, Nilsson, Dag Juhlin-Dannfelt dan Robertson Bala ketika penyerahan sumbangan.
DARI kiri, Aren, Nilsson, Dag Juhlin-Dannfelt dan Robertson Bala ketika penyerahan sumbangan.
Intan Mas Ayu Shahimi

Jarang sekali masyarakat pedalaman dapat menikmati pelbagai keistimewaan disediakan syarikat korporat bertaraf dunia. Bukan tidak ada yang bermurah hati, namun had masa, jarak perjalanan, lokasi dan rantaian hubungan sering mencipta kekangan besar untuk sebarang program komuniti diadakan.

Bario umpamanya, daerah ini cukup dikenali dengan berasnya. Ia terletak di kawasan tanah tinggi yang luas pada kedudukan kira-kira 1,000 meter dari paras laut, di timur laut Sarawak. Dikelilingi gunung-ganang, tapak kebudayaan, landskap pertanian dan hutan hujan tropika, tidak dinafikan Bario tergolong dalam lokasi pedalaman yang paling cantik serta wajar dilindungi.

Komuniti Kelabit yang menetap di sini lebih 4,000 tahun dulu kini berdepan cabaran pemodenan dan pembalakan. Sejak beberapa tahun lalu, kira-kira 65 peratus populasi muda Kelabit berpindah keluar berikutan kurangnya kemudahan dan pekerjaan di Bario. Malah, kini dianggarkan hanya sekitar 1,000 saja orang Kelabit yang masih tinggal di Bario.

Mungkin tuah menyebelahi, komuniti itu terpilih menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada pengeluar kenderaan komersial terbesar di dunia, Volvo Trucks, menerusi program Seasonal Gift Volvo Group.

Program unik itu sebahagian daripada CSR Volvo Group yang dilaksanakan di seluruh dunia. Ia bertujuan memberi bantuan sokongan kepada penduduk tempatan, sekali gus memakmurkan komuniti tempat Volvo Trucks beroperasi.

Tambah menarik, Malaysia tergolong dalam senarai negara terpilih apabila Bario menjadi penerima sumbangan dana berjumlah RM500,000 dibiayai oleh Volvo Trucks untuk menambah baik kehidupan masyarakat Kelabit.

Sumbangan itu kemudian difokuskan kepada dua usaha utama iaitu pembinaan sistem pencegahan kebakaran lengkap dengan tangki air dan lapan paip hos untuk penempatan rumah panjang Bario Asal Lembaa. Rumah panjang terbabit adalah yang paling tua di kawasan berkenaan dan dibina pada 1958.

Sistem pencegahan kebakaran itu bukan saja bertujuan memastikan keselamatan nyawa penduduk, tetapi turut memberi kesan naik taraf positif terhadap rumah panjang yang menjadi kebanggaan komuniti, tarikan pelancong dan monumen sejarah buat kaum Kelabit.

Usaha kedua pula membabitkan pembinaan lima pondok eko. Semua kerja pembinaan di sepanjang laluan lama Bario sejauh 25 kilometer itu dijalankan sepenuhnya oleh tenaga manusia, tanpa bantuan jentera.

Setiap pondok dilengkapi dengan tandas, sistem bekalan air yang mapan dan tempat rehat yang selamat. Pondok eko ini bakal memudahkan perjalanan melalui hutan tebal untuk penduduk tempatan dan pendaki luar, menggalakkan lebih ramai pelancong, seterusnya membantu menjana pendapatan penduduk setempat.

Projek Bario sudah bermula pada pertengahan 2017 dan disiapkan pada Disember lalu. Berikutan itu, majlis penyerahan rasmi diadakan baru-baru ini di penempatan rumah panjang Bario Asal Lembaa. Ia dilancarkan Duta Sweden ke Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt dengan disaksikan Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Mats Nilsson; Penghulu, Robertson Bala dan Ketua Bario Asal Lembaa, KK Laju Balang @ Aren Lemulun.

Menurut Nilsson, objektif sebenar program itu adalah untuk menyumbang kembali kepada pelbagai pihak dalam masyarakat.

“Komitmen Volvo terhadap tanggungjawab sosial, alam sekitar dan ekonomi sudah dilaksanakan sejak perniagaan kami dimulakan di sini. Kami komited dalam memberi sokongan dari segi projek kesihatan dan keselamatan, selari dengan nilai utama kami iaitu kualiti, keselamatan serta penjagaan alam sekitar.

“Inisiatif Bario ini adalah satu daripada 14 projek yang dijalankan di beberapa negara di seluruh dunia, di bawah program Seasonal Gift Disember 2016. Bukan itu sahaja, Malaysia menjadi salah satu daripada dua negara terpilih di Asia dan kami berbesar hati untuk memanfaatkan dana ini sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Aren Lemulun berkata, pihaknya bersyukur atas usaha Volvo Trucks dalam melaksanakan kedua-dua projek berkenaan.

“Mempunyai rakan kongsi yang memahami visi kami untuk mengekalkan warisan dan alam sekitar bagaikan impian yang menjadi kenyataan,” katanya.

Jelas Aren, komuniti Kelabit mempunyai permulaan yang sederhana. Bario Asal Lembaa menjadi rumah panjang asal dan tertua di Bario kerana nenek moyang kaum itu adalah peneroka pertama kawasan terbabit.

“Sejak itu, kami mula berkongsi, membina dan berkembang bersama-sama dengan komuniti rumah panjang yang lain untuk menjadi Bario yang dilihat hari ini. Ia adalah sebahagian daripada sejarah hidup yang mesti dilindungi dan dipelihara.

“Kami menikmati kemudahan moden sekarang tetapi tetap mengekalkan tradisi dalam cara hidup komunal (pemilikan secara bersama). Cara hidup tradisional ini bukan mudah, tetapi ini adalah tempat yang istimewa dan kami mahu memastikan rumah panjang serta tradisi ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Katanya, terdapat enam hingga tujuh kebakaran rumah panjang setiap tahun di Sarawak. Kebakaran itu bukan sahaja menghapuskan kediaman, tetapi sejarah dan warisan penduduknya.

MELAKUKAN demonstrasi cegah kebakaran ketika pelancaran.
MELAKUKAN demonstrasi cegah kebakaran ketika pelancaran.

“Kami takut jika ia berlaku di sini. Sebab itu kami menyambut baik kerjasama Volvo Trucks Malaysia untuk membina sistem pencegahan kebakaran. Setidak-tidaknya ia boleh membantu mengawal situasi kecemasan dan meredakan kebimbangan penduduk setempat. Hari ini, kami bukan sahaja mempunyai sistem pencegahan kebakaran untuk rumah panjang kami tetapi menjadi yang pertama memiliki kemudahan ini di bahagian keempat Sarawak. Ini pastinya akan memberi inspirasi kepada rumah panjang di sekeliling kami.

“Selain itu, bantuan Volvo Trucks juga dilihat sebagai suatu usaha murni dalam memastikan penerusan sejarah dan warisan kami, serta kelestarian Bario yang berterusan. Pembinaan lima pondok eko di laluan denai hutan lama akan membantu komuniti Kelabit dan Penan yang menginap di Bario.

“Ia adalah tanggungjawab bersama kami untuk mengekalkan dan menjaga pondok eko dengan baik serta melindungi alam sekitar. Kami ingin berkongsi kecantikan kawasan ini dan mendidik kepentingan pemuliharaan kepada generasi muda, sekali gus memelihara alam sekitar serta warisan Bario untuk dunia,” katanya.

Di bawah Program Transformasi Ekonomi, kerajaan berhasrat menjadikan Bario sebagai hab destinasi bertaraf dunia untuk kepelbagaian agro dan mendapatkan status warisan dunia UNESCO.

Bagi menyokong usaha itu, Nilsson berkata, pihaknya pihaknya melaksanakan projek itu dengan harapan besar, bukan saja untuk meningkatkan keselamatan penduduk setempat, malah membantu menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pelancongan kepada komuniti menerusi pondok eko.

“Secara tidak langsung, peningkatan ini akan turut menaik taraf kehidupan komuniti Kelabit dengan menyediakan sumber pendapatan yang mampu mengurangkan perpindahan keluar golongan remaja mereka,” katanya.

Majoriti komitmen sosial Volvo Trucks membabitkan semua peringkat, apabila syarikat dan kakitangannya mampu membuat perubahan besar bersama-sama.

Inisiatif ini juga menerima sokongan padu dan kerjasama daripada pihak Lembaga Pelancongan Sarawak dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 11:50 AM