GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Mahu membeli dengan harga murah selain mudah terpengaruh dengan 'iklan palsu' yang menawarkan harga tidak masuk akal menjerat kebanyakan mangsa penipuan pembelian dalam talian (e-dagang) di negara ini.

Hakikatnya, barangan yang ditawarkan seperti produk import, gajet, makanan dan keperluan harian di platfrom e-dagang serta media sosial itu langsung tidak wujud dan hanya diletakkan dalam iklan semata-mata untuk memperdaya pembeli.

Itu dilakukan 'toyol siber' yang menyasarkan 10 platform media sosial dan e-dagang sebagai lokasi cari makan hingga berjaya meraih keuntungan jutaan ringgit dengan taktik mudah.

Berdasarkan maklumat terkini didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, sebanyak 8,868 kes penipuan e-dagang dilaporkan sehingga September tahun lalu di seluruh negara membabitkan kerugian kepada mangsa lebih RM163 juta.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka itu dijangka terus meningkat selaras pertambahan platform e-dagang yang semakin popular dalam urus niaga masa kini.

Menurutnya, kajian JSJK menunjukkan pelaku jenayah penipuan e-dagang menyalahgunakan platform media sosial dan aplikasi jualan dalam talian untuk mencari mangsa.

"Kajian mendapati penyedia platform e-dagang sudah menyediakan prosedur urus niaga yang selamat dan teratur, namun kecenderungan mangsa mendapatkan harga lebih murah mendorong mereka membuat pembelian secara terus dengan penjual tanpa melalui platform e-dagang berkaitan.

"Tindakan ini mengakibatkan mereka menjadi mangsa penipuan," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membendung kegiatan penipuan sebegini, PDRM mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada.

"Kami minta orang amalkan beberapa tip untuk mengelak menjadi mangsa penipuan dan yang paling utama, jangan percaya dengan tawaran yang too good to be true (tidak masuk akal).

"Hanya membuat pembelian melalui platform e-dagang yang mempunyai ciri keselamatan dan dipercayai dan perlu sentiasa menyemak review (ulasan) dan komen daripada pengguna lain," katanya.

Orang ramai boleh menyemak nombor akaun dan nombor telefon penjual melalui portal 'Semak Mule' di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 7:01 AM