Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Seramai 115,617 atau 91.6 peratus pelajar di negeri ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja setakat ini.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia adalah jumlah daripada seramai 126,211 pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini yang sudah mendaftar untuk mendapat suntikan vaksin itu.

Katanya, program vaksinasi remaja dimulakan di negeri ini sejak 20 September lalu yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Menurutnya, PPV untuk vaksinasi remaja negeri Perak dibuka untuk dos pertama hingga 8 Oktober manakala pemberian dos kedua akan bermula pada 10 Oktober hingga selesai.

Menteri Besar Perak,Datuk Saarani Mohamad selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Menteri Besar Perak,Datuk Saarani Mohamad selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

"Seramai 61,853 pelajar yang berusia 16 hingga 17 tahun sudah mendaftar dan 55,976 atau 90.5 peratus daripadanya sudah menerima vaksin.

"Bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun pula, seramai 64,358 sudah mendaftar dan 59,641 atau 92.67 peratus sudah mendapat suntikan vaksin," katanya pada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) remaja di Sekolah Izzuddin Shah, Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 41 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka bagi tujuan pelaksanaan program ini meliputi sekolah, kolej vokasional dan PPV awam.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas tentang tular kesan vaksin kepada pelajar sekolah yang berkemungkinan memberi kesan kepada program PICK Remaja di negeri ini.

"Melihat kepada peratus ini tiada tanda-tanda dan ia tidak memberi kesan, lagi pula sudah dimaklumkan apa yang tular itu adalah palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 12:05 PM