TIGA anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diiringi anggota SPRM untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO Danial Saad
TIGA anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diiringi anggota SPRM untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Georgetown. FOTO Danial Saad
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Penahanan 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Sukat adalah hasil kolaborasi jabatan itu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kenyataan media, hari ini, JPJ memaklumkan penahanan pegawainya semalam membabitkan lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka.

Menurutnya, kolaborasi bersama SPRM adalah usaha JPJ untuk memastikan jabatan itu bebas daripada salah guna kuasa dan rasuah sehingga menyebabkan ketirisan kepada hasil negara.

"Usaha ini tidak berhasil sekiranya tidak mendapat kerjasama padu daripada warga JPJ sendiri.

"Pengurusan JPJ berterima kasih kepada pegawai dan anggota yang terus menegakkan integriti dalam menjalankan tanggungjawab," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, tindakan itu adalah manifestasi jelas JPJ yang tidak berkompromi dengan aktiviti boleh menjejaskan nama baik dan integriti jabatan.

Modus operandi digunakan ialah pegawai terbabit tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya, selepas menerima wang rasuah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.

Suapan dipercayai bernilai antara RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan membabitkan kira-kira RM1.64 juta dan dilakukan sejak 2019 hingga 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 7:59 PM