ANGGOTA JPJ dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini bagi mendapat perintah reman untuk membantu siasatan menerima suapan daripada pengusaha-pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ANGGOTA JPJ dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini bagi mendapat perintah reman untuk membantu siasatan menerima suapan daripada pengusaha-pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman tujuh hari bermula hari ini, berhubung kes menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan.

Perintah tahanan reman sehingga 24 Mac itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Jamaludin Elias selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, anggota berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada 11.06 pagi semalam, ketika hadir memberi keterangan.

"Dia disyaki menerima suapan daripada pihak berkenaan sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Penahanannya rentetan daripada operasi besar-besaran di lima negeri yang memberkas 44 individu termasuk 32 daripadanya kakitangan JPJ.

Daripada jumlah itu, lapan anggota JPJ ditahan di Kedah selain masing-masing seorang polis trafik dan pesara trafik serta orang awam, yang dipercayai menerima antara RM150 hingga RM3,000 sebulan sehingga nilai keseluruhan membabitkan RM1.64 juta.

Terdahulu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbaharu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 2:01 PM