GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Singapura: Singapura menarik balik telur yang diimport dari sebuah lagi ladang dari Malaysia selepas mengesan kehadiran bakteria Salmonella Enteritidis (SE).

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam hantaran Facebook yang dikemas kini memaklumkan telur yang terbabit mempunyai cetakan kod "CEM014".

SFA berkata, pihaknya mengarahkan empat pengimport untuk menarik kembali produk itu sebagai langkah berjaga-jaga, memandangkan bakteria SE boleh menyebabkan penyakit bawaan jika telur berkenaan dimakan mentah atau tidak dimasak dengan betul.

Pengimport terbabit ialah An Hong Egg Supplies, Chuan Huat Poultry Farm Pte Ltd, Dasoon Pte Ltd, FE Supply Pte Ltd.

"Penarikan balik (telur) itu sedang dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan bahawa tidak semua telur import terbabt dengan penarikan balik itu kerana hanya telur yang mempunyai cetakan kod ladang "CEM014" yang terjejas.

SFA memaklumkan bakteria itu dikesan pada telur yang diimport dari Linggi Agriculture Sdn Bhd.

Ladang berkenaan digantung sementara dan SFA berkata, pihaknya akan menarik balik arahan penggantungan itu apabila ladang berkenaan memastikan isu pencemaran bakteria SE tidak berlaku lagi.

Pada 13 Mac lalu, Singapura mengarahkan empat pengimport menarik balik telur dari pasaran yang dihasilkan Lay Hong Bhd Layer Farm Jeram, di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 10:42 AM