RAZALI menyerahkan bantuan persekolahan kepada pelajar pada program Back To School di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah, hari ini. FOTO Baharom Bakar
RAZALI menyerahkan bantuan persekolahan kepada pelajar pada program Back To School di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Chukai: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menafikan menggunakan peruntukan kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada orang ramai yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan disalurkan bagi membantu meringankan bebanan kepada penduduk adalah hasil keuntungan daripada beberapa anak syarikat Ketengah.

Beliau berkata, Ketengah menubuhkan tabung tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mengumpul dana bertujuan menyalurkan bantuan kepada penduduk miskin yang terkesan.

"Ahli lembaga pengarah Ketengah memutuskan mengumpul dana hasil keuntungan syarikat untuk dimasukkan ke dalam tabung CSR bagi membantu orang ramai yang terkesan disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan mangsa banjir di beberapa daerah di negeri ini pada Disember lalu," katanya selepas merasmikan program Ketengah Ambik Cakne dan majlis penyampaian sumbangan Back to School di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Air Putih, Ab Razak Ibrahim.

Razali berkata, Ketengah mempunyai 14 anak syarikat dan sebahagiannya mencatatkan keuntungan dan hasil itu dimasukkan ke dalam tabung CSR dikendalikan skuad Ketengah Ambik Cakne.

"Kita memutuskan bukan saja membantu penduduk di kawasan wilayah sebaliknya kepada seluruh masyarakat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 11:51 AM