HASMAH (kiri) menerima replika cek RM 2,000 bersama barang keperluan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Zainol Abu di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
HASMAH (kiri) menerima replika cek RM 2,000 bersama barang keperluan daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Zainol Abu di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: " Terima kasih kerana memudahkan urusan bantuan (faedah orang tanggungan) anak selepas enam hari dia meninggal dunia.

"Dengan bantuan ini, saya dan keluarga boleh buat kenduri tahlil untuk arwah," kata Hasmah Sohor, 77, ibu kepada Nor Hayati Abdullah.

Nor Hayati, 42, meninggal dunia selepas van kilang dinaikinya dihempap runtuhan struktur jejantas pembinaan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Desa Tun Razak, 3 Mac lalu.

Wanita berkenaan maut dalam kemalangan yang turut meragut nyawa Nurina Edwin Abdullah, 47, manakala tiga lagi mengalami kecederaan.

Hari ini, Hasmah menerima pencen ilat ketika dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor Zainol Abu di rumahnya di Kampung Jerang Belanga, Bagan Terap di sini.

Hasmah berterima kasih kepada Perkeso yang prihatin menguruskan pencen ilat yang layak diterimanya setiap bulan.

Beliau yang masih berduka selepas kehilangan anak ketiganya, Nor Laila Hayati yang meninggal dunia akibat barah payu dara pada Mac 2019, diuji sekali lagi dengan pemergian anak bongsu dari lima beradik itu dan menyifatkan ia sudah takdir Allah.

"Dua tahun lalu saya kehilangan anak (Laila Hayati Abdullah) akibat kanser payu dara. Kali ini arwah (Nor Hayati) pula dijemput Ilahi akibat kemalangan.

"Masa hayatnya, arwah akan pastikan lauk dan barang dapur sentiasa mencukupi untuk saya dan ahli keluarga lain. Dia juga suka makan ikan bawal emas goreng dimasak oleh saya setiap kali pulang ke kampung.

"Dua anak yang saya lahirkan dan besarkan, pulang menghadap Ilahi buat selamanya. Sebagai ibu, saya sedih namun reda dengan pemergian mereka dan berdoa agar roh mereka ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya selepas menerima faedah pengurusan mayat RM 2,000 yang disampaikan Zainol.

Sementara itu, Zainol berkata, Skuad Prihatin Perkeso Tanjong Karang mengambil tindakan segera sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian itu menerusi media.

Beliau berkata, pengisian dokumen tuntutan dibuat pegawai siasat Skuad Prihatin dan kes didaftarkan di bawah Skim Keilatan (Pencen Penakat) untuk pemprosesan faedah pengurusan mayat.

"Waris layak mendapat faedah orang tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Kerja kerana kemalangan berlaku ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Oleh itu, waris layak mendapat faedah dari Perkeso antaranya faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan FOT sebanyak RM 840 setiap bulan dengan bayaran bulan pertama RM 758.71," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 4:35 PM