Fuad Alias (tengah) menyerahkan replika cek RM2,000 kepada Salamah Sitam (tiga dari kiri) di rumah keluarga di Taman Bukit Ria Tampin. FOTO MOHD AMIN JALIL
Fuad Alias (tengah) menyerahkan replika cek RM2,000 kepada Salamah Sitam (tiga dari kiri) di rumah keluarga di Taman Bukit Ria Tampin. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Tampin: "Terima kasih kerana permudahkan urusan pencen ilat anak selepas seminggu dia meninggal dunia," kata Salamah Sitam, 68, ibu kepada Nur Zalehan Balkish Abdul Majid, yang maut selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap kereta dipandunya, 10 November lalu.

Hari ini, Salamah yang juga ibu tunggal menerima pencen ilat ketika dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Fuad Alias, di rumahnya di Taman Bukit Ria, di sini.

Salamah berterima kasih kerana Perkeso prihatin dengan menguruskan pencen ilat yang layak diterimanya setiap sebulan.

Dia yang masih bersedih, reda dengan kehilangan anak bongsu itu dan menyifatkan ia sudah ditakdirkan Allah SWT.

"Memang saya dan ahli sekeluarga terasa kehilangan arwah, tapi reda kerana ia sudah ketentuan Allah," katanya selepas menerima faedah pengurusan mayat RM2,000 yang disampaikan Fuad.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid; Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hassan dan Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad.

Sementara itu, Fuad berkata, skuad Perkeso Prihatin Seremban mengambil tindakan segera sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian itu menerusi media.

Beliau berkata, selepas mendapati arwah adalah pencarum dalam Perkeso yang melayakkan keluarganya atau waris menerima pencen ilat setiap bulan.

"Kami berusaha memproses supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin bagi meringankan beban keluarga.

"Waris layak mendapat faedah dari Perkeso antaranya faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000, faedah orang tanggungan (FOT) sebanyak RM785.99 setiap bulan yang akan dibayar mulai Disember ini," katanya.

Harian Metro, sebelum ini, melaporkan mengenai tragedi yang menimpa Nur Zalehan Baskish, 27, yang berkhidmat Pembantu Pengurus di YAPEIM Cawangan Gemencheh, dekat Tampin.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 5, Jalan Keru-Batu Belang, dekat sini, selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada kira-kira jam 8.30 pagi, 10 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 7:45 PM