125 mesin melombong Bitcoin yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
125 mesin melombong Bitcoin yang dirampas. FOTO Ihsan PDRM
Roselan Ab Malek

Lipis: Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan melombong Bitcoin yang menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian ribuan ringgit di dua premis di sini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kegiatan di dua rumah kedai di bandar ini dan Tempoyang dikesan selepas sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dengan kerjasama TNB membuat pemeriksaan.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiada sesiapa di dalam premis dan kita terpaksa memotong kunci mangga dan mengumpil pintu besi dan pintu kayu premis berkenaan yang diubah suai.

"Kegiatan yang kali pertama dikesan di daerah ini menjalankan aktiviti mereka dengan modus operandi menyewa premis bangunan dua tingkat dan membuat pengubahsuaian sebelum menyambung bekalan elektrik secara haram," katanya.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 3 Mac lalu pada 3 petang oleh pasukan polis IPD Lipis dan TNB Lipis di tingkat atas sebuah premis membaiki dan servis motor di bandar ini.

Katanya, hasil pemeriksaan ditemukan 70 mesin melombong Bitcoin sedang berfungsi dan pihak TNB dapati terdapat sambungan kabel elektrik secara tidak sah.

"Dalam serbuan kedua pada 4 petang kelmarin berdasarkan maklumat daripada dua lelaki yang ditahan di Gua Musang, ditemukan 57 mesin Bitcoin di tingkat atas sebuah premis di Tempoyang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 5:40 PM