ANGGOTA bomba giat memadam kebakaran menggunakan kaedah buih di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba giat memadam kebakaran menggunakan kaedah buih di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Kebakaran di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok dekat sini yang berlarutan sejak lima hari lalu kini terkawal dengan lebih 97 peratus kawasan yang terbakar berjaya dipadam setakat malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamza Isnurdini berkata, secara keseluruhan 97.25 peratus daripada 45,700 meter persegi kawasan kebakaran yang membabitkan tempat pembuangan tayar terpakai sudah dipadamkan.

"Daripada empat sektor yang dibahagikan di lokasi kejadian, Sektor D telah dipadamkan sepenuhnya manakala sektor C pada tahap 95 peratus, sektor B (99 peratus) dan sektor A (95 peratus)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, operasi pemadaman masih menggunakan peralatan jentera khas berikutan lokasi kebakaran adalah berskala besar.

"Pihak bomba menjalankan pemadaman menggunakan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module (HPPM) dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan sebanyak 14 tong Foam.

"Operasi dilaksana 41 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah," katanya.

Katanya, usaha pemadaman giat dijalankan dan sebarang perkembangan akan dikongsi dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 11:09 PM