X
SEORANG petugas kesihatan mengambil dos suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. FOTO Aizuddin Saad
SEORANG petugas kesihatan mengambil dos suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Ipoh: Pelaksanaan vaksinasi kepada petugas kesihatan swasta di Perak dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata, Stadium Indera Mulia yang dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), mula dipenuhi oleh petugas kesihatan yang terlibat sejak 10.30 pagi tadi.

"Ramai juga kalangan 'GP' (doktor atau pengamal perubatan am) yang hadir mendapatkan vaksin. Lindung diri, lindung semua," katanya dalam kenyataan ringkas bersama gambar yang dikongsikan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Pada masa sama Dr Noor Hisham turut memaklumkan, laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 menunjukkan 9,892 pemberian dos vaksin sudah diberikan di Perak setakat semalam.

Pada 3 Mac lalu, Perak menerima sebahagian lagi bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang dihantar ke empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) bagi pelaksanaan fasa pertama PICK.

Sebelum itu, Perak menerima 22,230 dos pertama bekalan vaksin untuk diberikan sepanjang pelaksanaan fasa pertama program membabitkan 39,760 petugas barisan hadapan yang dijangka selesai pada penghujung April ini.

Mereka terdiri daripada 22,094 petugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala 17,666 lagi petugas barisan hadapan daripada jabatan lain yang turut terbabit secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan Covid-19.

Bekalan pertama vaksin jenis sama tiba Perak pada 24 Februari lalu dengan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad menjadi antara penerima terawal suntikan vaksin pada 1 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 5:43 PM