PERDANA Menteri menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam. FOTO Bernama
PERDANA Menteri menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, semalam. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Syukur kepada Allah kerana saya masih sihat selepas menerima suntikan vaksin (Covid-19) semalam," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, keadaan beliau kini masih kekal sihat tanpa mengalami sebarang gejala seperti demam dan masih berselera untuk makan.

Katanya, dalam keadaan yang sihat selepas disuntik dos pertama, beliau yakin vaksin ini selamat dan berkesan.

Muhyiddin juga memaklumkan dia akan menerima suntikan dos kedua pada 17 Mac depan dan diberikan sijil sebaik selesai kelak.

"Saya minta orang ramai mainkan peranan untuk menyokong usaha kerajaan dan negara melandaikan Covid-19.

"Daftar dalam aplikasi MySejahtera dan macam saya semua maklumat sudah ada di dalam telefon ini (maklumat suntikan vaksin Covid-19)," katanya menerusi rakaman video di Facebook (FB), malam ini.

Semalam, Perdana Menteri bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham serta empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara individu yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

Prosedur suntikan vaksin fasa pertama itu menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula secara rasmi bagi menangani pandemik yang sudah meragut lebih 1,000 nyawa di Malaysia.

Program tiga fasa ini bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin untuk fasa pertama yang akan berlangsung hingga April depan.

Vaksin berkenaan juga sudah tiba di beberapa negeri antaranya Perak, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 8:29 PM