DR Noor Hisham Abdullah. GAMBAR Ihsan FB Dr Noor Hisham.
DR Noor Hisham Abdullah. GAMBAR Ihsan FB Dr Noor Hisham.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Alhamdulillah, sehari selepas menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, tiada kesan sampingan yang dialami setakat ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sehingga petang ini, tiada gejala demam atau rasa sakit di tempat suntikan dialaminya.

"Jumlah larutan vaksin yang digunakan adalah hanya 0.3 mililiter (ml) dan jarum yang digunakan adalah jarum yang halus," katanya menerusi hantaran terkini di Facebook (FB), hari ini.

Dr Noor Hisham juga menyeru orang ramai supaya mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dengan segera bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Segera mendaftar di MySejahtera untuk menerima vaksin Covid-19 yang akan diberikan mengikut fasa kelayakan yang ditetapkan. Vaksin memberi perlindungan diri dan perlindungan imuniti kelompok," katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara individu yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19.

Prosedur suntikan vaksin fasa pertama itu menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula secara rasmi bagi menangani pandemik yang sudah meragut lebih 1,000 nyawa di Malaysia.

Program tiga fasa ini bakal menyaksikan lebih 500,000 anggota barisan hadapan menerima vaksin untuk fasa pertama yang akan berlangsung hingga April depan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 4:27 PM