ANGGOTA bomba memadam tompokan api di kawasan tapak pelupusan sampah di Kemunting. FOTO Zuliaty Zulkifli.
ANGGOTA bomba memadam tompokan api di kawasan tapak pelupusan sampah di Kemunting. FOTO Zuliaty Zulkifli.
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Walaupun berdepan cuaca panas dan kering, pasukan bomba tetap komited memadam tompokan api di tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar di Kemunting, di sini.

Malah, mereka sudah bertungkus lumus lebih 24 jam, sejak 3.38 petang semalam dalam operasi pemadaman.

Difahamkan, tapak pelupusan sampah itu pernah terbakar pada tahun lalu membabitkan keluasan hampir satu hektar.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Wan Hamizi Mohd Zin berkata, faktor angin kencang dan cuaca panas menyebabkan punca api merebak dengan cepat.

"Operasi hari ini disertai seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Alor Setar dan Pokok Sena, selain turut dibantu tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya, Ayer Hitam dan Tunjang.

"Kita turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP)," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Wan Hamizi berkata, setakat ini anggotanya menggunakan kaedah pemadaman secara terus dan sabun (foam) untuk menutup bahagian yang terbakar.

Katanya, setakat ini operasi menunjukkan perkembangan positif dibantu cuaca hujan semalam.

"Namun kita jangkakan operasi akan diteruskan lagi sehingga keadaan betul-betul dapat dikawal walaupun berdepan sedikit kesukaran dari segi cuaca agak panas sekarang ini.

"Operasi pemadaman turut menggunakan sumber air terbuka di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 4:00 PM