Kawasan pelupusan sampah  milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Kampung Air Putih, Pekan Nenas, Pontian, yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini. FOTO ihsan bomba
Kawasan pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Kampung Air Putih, Pekan Nenas, Pontian, yang terbakar berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


OPERASI memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Kampung Air Putih, Pekan Nenas, Pontian, Johor, ditamatkan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas Mahadir Mamat berkata, operasi itu ditamatkan pada 5 petang selepas semua kawasan tapak kebakaran berjaya dipadamkan.

"Operasi pemadaman berlangsung antara 12 hingga 13 hari bermula pada 2.46 petang, 1 Disember lalu.

"Kini, kerja mengemas segala perlatan masih dijalankan," katanya.

Hari ini, katanya, pihaknya berjaya memadam semua 0.8 hektar kawasan terbakar yang tinggal.

“Tapak pelupusan sampah ini seluas 10 hektar dan semalam, kebakaran membabitkan kawasan seluas 0.8 hektar lagi dan hari ini, kita berjaya memadamkan sepenuhnya” katanya.

Beliau berkata, operasi sebelum ini banyak ditumpukan di bahagian cerun tempat pelupusan sampah berkenaan.

“Kita menggunakan pelbagai aset yang dijalankan anggota dari beberapa unit dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Pekan Nenas, Skudai, Pontian Baru dan Johor Bahru.

“Kita juga mendapat bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM),” katanya.

Berita berkaitan:

Padam di sini, di sana terbakar

Tapak pelupusan sampah masih terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 7:10 PM