/hm
/hm
Izlaily Nurul Ain Hussein


OPERASI pemadaman tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Kampung Air Putih dekat Pekan Nenas, masih diteruskan apabila baki kawasan yang masih terbakar kekal 2.5 hektar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas, Mahadir Mamat berkata, jumlah kawasan yang masih terbakar tidak berkurangan memandangkan ada kawasan lain pula terbakar ketika operasi pemadaman dijalankan.

"Sepatutnya baki kawasan kebakaran yang dapat dipadamkan boleh diturunkan kepada satu atau 1.5 hektar, namun kerana perkara ini (kawasan lain terbakar), ia masih kekal 2.5 hektar," katanya.

Beliau berkata, kawasan pemadaman tertumpu pada bahagian cerun tempat pelupusan sampah berkenaan.

Katanya, faktor suhu bahang yang tinggi mencapai sehingga 150 hingga 250°C dan kedalaman tempat pelupusan yang mencapai enam hingga sembilan meter di kawasan kebakaran yang menyebabkan ia merebak.

"Faktor ini juga menyebabkan beberapa kawasan baru berlaku kebakaran," katanya.

Hari ini, operasi pemadaman kebakaran itu masuk hari ke-12 sejak kejadian yang berlaku pada 1 Disember lalu.

Berita berkaitan

Tapak pelupusan sampah masih terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 6:05 PM