MOHD Afiq Ikmal Muhamad Zaini. FOTO ihsan keluarga
MOHD Afiq Ikmal Muhamad Zaini. FOTO ihsan keluarga
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keadaan Mohd Afiq Ikmal Muhammad Zaini 23, yang dilaporkan kritikal akibat komplikasi hati masih tiada perkembangan terkini dan masih tidak sedarkan diri.

Perkembangan terbaru itu dikongsikan bapanya, Muhammad Zaini Rahim, 50, yang menemani anak sulungnya di wad rawatan separa rapi (HDW) Hospital Selayang walaupun sebelum ini Mohd Afiq ada memberi tindak balas.

Muhammad Zaini berkata, perkembangan anaknya itu tidak ada banyak beza dan menyerahkan kepada doktor yang merawat anaknya menjalankan tugas mereka kerana pihak terbabit lebih arif.

Menurutnya, dia juga sentiasa berdoa kepada Allah supaya anaknya itu akan segera pulih.

"Saya juga berharap orang ramai turut membantu mendoakan kesembuhan anak saya.

"Rawatan sudah dibuat dan sekarang ini saya menunggu sama ada dia boleh bertahan atau tidak dan jika semangat dia kuat dan ada umur panjang," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Muhammad Zaini berkata, walaupun apa terjadi dia reda dengan apa yang berlaku.

Mohd Afiq pernah mencatat sejarah negara apabila berjaya menjalani pembedahan pemindahan hati pertama di Malaysia di sebuah pusat perubatan swasta pada 1999.

Dia yang ketika itu masih bayi mengalami masalah bengkak hati menerima hati daripada penderma hati pertama, Wan Mohd Hafizam Wan Ismail, 45, yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah dengannya.

Susulan itu, kisah mereka mendapat liputan meluas hingga membuka mata dan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang kepentingan pendermaan organ.

Berita berkaitan

Mohd Afiq mula beri tindak balas

Doakan kesembuhan Afiq

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:06 PM