Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: MySejahtera satu-satunya aplikasi rasmi kerajaan digunakan untuk mendaftar program vaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini hanya MySejahtera aplikasi rasmi kerajaan untuk pendaftaran program vaksinasi.

"Saya tidak mahu komen mengenai (aplikasi) yang lain tetapi MySejahtera aplikasi digunakan kerajaan.

"Inilah pentingnya untuk semua ada aplikasi MySejahtera," katanya dalam sesi libat urus media kali keempat menerusi sidang maya, hari ini.

Ketika ini, Selangor menggunakan aplikasi SELangkah atau Langkah Masuk Dengan Selamat khas untuk penduduk di negeri itu.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM) Dr A Maheshwara Rao berkata, setakat hari ini seramai 1.065 juta penduduk Malaysia sudah mendaftar Program Vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera.

"Saya rasa jumlah ini akan bertambah dari hari ke hari dan mengikut rekod kita 300,000 pendaftaran sehari," katanya.

Selain itu, Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Norhuda Mohd Tajuddin berkata, bagi mereka yang mengalami kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) boleh melaporkannya menerusi MySejahtera atau laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Mereka yang menerima suntikan, ada ruang pemerhatian 15 hingga 30 minit bagi pemantauan AEFI.

"Jika mereka mempunyai sejarah alahan serius akan diperhatikan dalam tempoh agak lama, namun jika tiada alahan sekitar 15 hingga 30 minit," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Selain itu, Dr A Maheshwara turut mengesahkan terdapat satu pautan dalam aplikasi MySejahtera bagi melaporkan mereka yang mengalami AEFI.

"Dalam aplikasi MySejahtera apabila kita sudah mendapat vaksin dos pertama, akan ada satu link (pautan) untuk melaporkan sebarang jenis kesan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 8:36 PM