Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kumpulan barisan hadapan yang berdaftar untuk menerima vaksin bagi fasa pertama ialah seramai 271,802 orang terdiri daripada sektor kesihatan serta sektor lain.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, 57.3 peratus adalah anggota perubatan dan kesihatan.

"Sebanyak 42.7 peratus lagi membabitkan anggota bukan kesihatan seperti tentera, polis, Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), kastam serta pasukan bomba dan penyelamat," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan vaksin berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada Rabu ini.

"Mereka akan menerima suntikan vaksin terbabit di Klinik Kesihatan Putrajaya selepas mesyuarat jemaah menteri pada hari berkenaan," katanya.

Turut hadir menyambut ketibaan vaksin ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Dr Noor Hisham.

Sementara itu, Dr Adham berkata, ketibaan kumpulan pertama vaksin itu membolehkan pihaknya memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Langkah ini penting kepada negara dan dunia kerana ini bermakna rakyat Malaysia kali pertama menjayakan vaksin daripada Pfizer-BioNTech.

"Kebaikan akan kita perolehi daripada pelaksanaan vaksinasi adalah kita boleh mendapat manfaat secara tidak langsung menerusi program pemantauan selepas pemberian vaksin dengan bekerjasama bersama Pfizer," katanya.

SEBANYAK 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO Bernama
SEBANYAK 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 12:25 PM