Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebahagian daripada dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dibawa masuk dari Singapura, selamat tiba ke negeri ini tepat 2 petang tadi.

Tinjauan di kawasan Tambak Johor, di sini, sejak jam 1 petang tadi mendapati lori penyimpanan khas yang membawa dos vaksin berkenaan sudah bersedia di tengah-tengah tambak berkenaan.

Kenderaan yang membawa Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba kemudian dilihat tiba pada 1.35 petang di Tambak Johor bagi menyambut ketibaan dos vaksin berkenaan.

Penyerahan ringkas dilakukan oleh wakil syarikat vaksin di tengah-tengah tambak berkenaan kepada kerajaan Malaysia yang diwakili Dr Adham dan Hasni.

Mereka turut dilihat melambai-lambai ke arah pengamal media yang menunggu sejak 12.30 tengah hari di R&F Princess Cove yang terletak berhadapan Tambak Johor.

Lori penyimpanan khas berkenaan dilihat meninggalkan Tambak Johor tepat 2 petang dan diiringi konvoi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal ketat kenderaan berkenaan.

Pagi tadi, sejumlah 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia pagi tadi dilaporkan akan di hantar ke 16 pusat simpanan vaksin di seluruh negara.

DATUK Hasni Mohammad (tengah) bersama Datuk Seri Dr Adham Baba menyambut ketibaan kumpulan vaksin pertama negeri Johor di tengah sempadan dua negara di Tambak Johor, hari ini. FOTO PEJABAT MENTERI BESAR
DATUK Hasni Mohammad (tengah) bersama Datuk Seri Dr Adham Baba menyambut ketibaan kumpulan vaksin pertama negeri Johor di tengah sempadan dua negara di Tambak Johor, hari ini. FOTO PEJABAT MENTERI BESAR

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 3:07 PM