Dr Izani Husin (tengah) menyampaikan bantuan pukat sangkar ikan kepada  Abdullah Mat, 61 (kanan) yang terkesan akibat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Pulau Kundur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Izani Husin (tengah) menyampaikan bantuan pukat sangkar ikan kepada Abdullah Mat, 61 (kanan) yang terkesan akibat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Pulau Kundur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Semua petugas barisan hadapan termasuk pengamal media akan menjadi penerima terawal vaksin Covid-19 yang dijangka diterima pada awal Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan bidang pekerjaan yang kerap membabitkan pertemuan dengan orang awam.

Dr Izani berkata pelancaran penerimaan vaksin Covid-19 itu akan dibuat di pejabat Setiausaha Negeri Kelantan (SUK) dan dijangka Menteri Besar iaitu Datuk Ahmad Yakob adalah penerima pertama.

"Semua yang dipanggil 'frontliner' (petugas barisan hadapan) akan menjadi penerima terawal vaksin Covid-19 dan selain kakitangan perubatan serta keselamatan, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) dan wakil rakyat juga termasuk.

"Ini kerana mereka terpaksa terbabit dengan rakyat, perlu turun padang dan kalau tidak, banyak benda terbengkalai malah sekarang pun sudah banyak tertangguh.

"Media boleh pertimbangkan (terima vaksin) cuma siapa dulu siapa kemudian kita akan bincang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui di Kampung Pulau Kundor dalam program penyerahan sangkar ikan kepada 33 peserta yang terdiri daripada nelayan bagi menjadikan perusahaan ikan dalam sangkar sebagai satu aktiviti sampingan.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata prosedur operasi standard (SOP) untuk negeri Kelantan masih kekal walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan melihat mana-mana perkara yang sesuai untuk diselaraskan dengan arahan terbaharu daripada kerajaan persekutuan yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal pada Ahad ini.

Menurutnya lagi, setakat ini premis kedai makan masih kekal beroperasi sehingga jam 10 malam dan hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan untuk satu meja namun pihaknya akan cuba untuk menyamakan SOP dengan kerajaan persekutuan sebaik diadakan mesyuarat pada Ahad ini.

"Ada dua perkara yang ada dalam fikiran pemimpin iaitu berkaitan keselamatan rakyat serta dari sudut ekonomi dan hari ini kita tengok perniagaan sudah berjalan cuma daripada pemerhatian saya SOP sudah tidak terjaga dan berterabur.

"Masalah sekarang adalah kenduri dan kajian menunjukkan penganjuran kenduri banyak menyebabkan penularan dalam masyarakat dan komuniti namun jika boleh selaraskan kehadiran jemputan dari segi bilangan serta waktu, Insya Allah kita akan cuba tolong," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 6:48 PM