DR IZANI (tengah) mengiringi Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 Parlimen Pengkalan Chepa kepada 250 nelayan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang. FOTO SITI ROHANA IDRIS
DR IZANI (tengah) mengiringi Ahmad Marzuk (kanan) menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 Parlimen Pengkalan Chepa kepada 250 nelayan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua daerah di Kelantan kecuali dua mukim, semalam bukan bermakna negeri ini bebas daripada wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, orang ramai tetap perlu mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap diri sendiri bagi mengelakkan penularan kembali berulang.

Menurutnya, wabak itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup dan beliau mengambil contoh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik ketika berada di masjid untuk di aplikasi dalam rutin harian.

"Covid-19 sudah berada dengan kita dan untuk itu kita perlu pandai untuk hidup dengannya dalam kata lain SOP yang ditentukan perlu terus dipatuhi.

"Contohnya dalam masjid yang dibuat SOP yang baik iaitu penjarakan sosial, bawa sejadah sendiri, pemakaian pelitup muka dan tidak berbual lama yang sangat dipatuhi oleh jemaah dan kariah.

"Dengan pematuhan di masjid yang jauh lebih baik daripada pasar raya dan tempat lain, saya rasakan ia perlu dicontohi jika orang ramai ingin keluar ke tempat lain terutamanya majlis kenduri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Musaadah Covid-19 Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, di sini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, kepada 250 nelayan hari ini.

Dr Izani berkata acara keramaian termasuk majlis kenduri adalah antara faktor yang menyumbang kepada penularan wabak Covid-19.

"Bagi saya kalau nak 'bekwoh' (buat kenduri) musim ini, kena sabar dulu sehingga awal tahun hadapan yang kita harap keadaan semakin baik.

"Kalau nak buat juga (kenduri), buat secara kecil, SOP kena jaga elok-elok kerana yang paling penting adalah akad nikah," katanya.

Selain majlis kenduri, beliau berkata, jangkitan daripada keluarga serta penularan dalam pejabat juga antara situasi yang dikenalpasti menyumbang kepada kemunculan kes Covid-19 di Kelantan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 5:09 PM