GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan akan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan di negeri ini selepas mendapati banyak kenduri diadakan tanpa memohon permit terlebih dulu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, penganjur majlis kenduri yang gagal memohon permit akan dikenakan kompaun minimum RM1,500 hingga RM10,000.

"Kita mengingatkan semua pihak supaya membuat permohonan dengan pihak polis terlebih dulu sebelum mengadakan sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan.

"Mulai hari ini, kita akan perketat prosedur operasi standard (SOP) di negeri ini dengan membuat pemantauan di semua majlis perkahwinan sama ada penganjur memohon permit atau sebaliknya.

"Mereka yang dikesan gagal mematuhi SOP akan dikenakan kompaun," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, disebabkan kecuaian dan kelalaian pihak berkenaan menyebabkan kes Covid-19 di Kelantan meningkat termasuk peningkatan kluster.

"Kita dukacita apabila kes Covid-19 di Kelantan meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu termasuk setiap hari wujud kluster baharu disebabkan kealpaan dan kelalaian orang ramai mematuhi SOP.

"Kita bimbang dengan peningkatan kluster ceritanya adalah sama pematuhan SOP serta program komuniti termasuk kenduri menyebabkan kes tersebar.

"Malah, di Pasir Puteh ada guru yang menghadiri majlis perkahwinan dan selepas itu dia ke sekolah sehinggakan kes Covid-19 merebak ke sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 2:19 PM