GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 253 orang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal manakala kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran pula merekodkan 177 individu ditahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan semalam, PDRM menahan 877 individu atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 806 orang dikompaun dan 71 individu direman.

"Kesalahan lain ialah aktiviti pusat hiburan (101), tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain (166).

"Pasukan Pematuhan yang membabitkan 14,071 anggota membuat pemantauan di 4,212 pasar raya, restoran (5,630), penjaja (2,385), kilang (1,570), bank (3,650) dan pejabat kerajaan (664).

"Turut dipantau 1,017 terminal pengangkutan darat, 268 terminal pengangkutan air serta 76 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, seramai 45 pendatang asing tanpa izin dan lima tekong ditahan serta lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

Menurutnya, seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.

"Sejak 24 Julai lalu, seramai 120,928 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 72 hotel serta 12 institut latihan awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 5,719 individu dikuarantin, 114,643 orang dibenarkan pulang manakala 566 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut membuat 746 pemantauan bekalan makanan membabitkan 590 peruncit, 125 pemborong dan 31 pengilang.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya, sebanyak 73 operasi dilaksanakan semalam meliputi 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 8:18 PM