Nurul Hidayah Bahaudin

LEBIH 40 struktur rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling hari ini.

Operasi perobohan itu bermula 7.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi membabitkan lebih 50 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Penghuni rumah yang diroboh dalam operasi itu, Komari Islan, 55, berkata, dia mengambil inisiatif meroboh sendiri struktur rumahnya yang berada di kawasan rizab sungai itu secara berperingkat sejak minggu lalu.

Keadaan struktur dan rumah yang dirobohkan hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Keadaan struktur dan rumah yang dirobohkan hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

“Sejak notis mengenai perobohan diterima November lalu, saya mengambil keputusan merobohkan sendiri struktur yang berada di tanah rizab sungai ini membabitkan dua bilik tidur dan bilik air.

“Sebaik pihak berkuasa tiba 7 pagi tadi, hanya sebahagian kecil saja kerja perobohan dilakukan memandangkan saya sendiri sudah merobohkan struktur itu sejak minggu lalu,” katanya.

Komari berkata, dia tinggal bersama isteri dan lima anak di rumah itu sejak 2008 selepas membeli tanah di lokasi itu daripada penduduk tempatan.

“Saya membeli tanah ini RM10,000 dan membina sebuah rumah dengan kos RM50,000 malah urusan jual beli tanah itu ada dokumen yang masih disimpan sehingga kini.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan tetap tinggal di rumah ini walaupun terpaksa tidur dalam longgokan barang memandangkan hanya bahagian ruang tamu, satu bilik dan ruang parkir yang masih ada,” katanya yang juga buruh binaan.

Kerja perobohan dilakukan pihak berkuasa di Kampung Paya Jaras Hilir hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Kerja perobohan dilakukan pihak berkuasa di Kampung Paya Jaras Hilir hari ini. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Seorang lagi penghuni rumah yang dirobohkan, Mahfuz Ariffin, 47, berkata, dia menerima notis berhubung perobohan itu November lalu.

“Sebaik menerima notis itu, saya memaklumkan kepada isteri dan dua anak supaya mengemas barang dan memindahkan barang ke sebuah bilik yang tidak dirobohkan.

“Namun barang dalam rumah terlalu banyak menyebabkan sebahagiannya terpaksa diletakkan di luar rumah memandangkan ruang tamu, dua bilik tidur dan bilik air dirobohkan,” katanya yang juga pekerja kontrak.

Mahfuz berkata, dia tetap tinggal di rumah itu yang dibeli pada harga RM15,000 pada 2004 walaupun hanya ada satu bilik dan akan mengubah suai bilik itu dalam masa terdekat.

“Saya tidak mampu menyewa rumah lain memandangkan gaji diperolehi kecil dan isteri pula tidak bekerja menyebabkan kami mengambil keputusan untuk tetap tinggal di sini.

“Malah kami sayang rumah ini kerana banyak kenangan sepanjang kami tinggal di sini,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan 37 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan PDT Petaling bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi masalah banjir kilat September lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit juga sudah memberi tempoh kepada 56 pemilik rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dulu.

Berita berkaitan

Majoriti penduduk sudah pindah

9 rumah diroboh hari ini [METROTV]

'Kami akur tetapi....' [METROTV]

'Tolonglah...saya sudah terdesak'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 1:05 PM