ANGGOTA bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memotong jeriji tingkap bagi menyelamatkan mangsa. FOTO ihsan bomba
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seorang lelaki hanya mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah kawasan perumahan di Puncak Erskine, Jalan Fettes, Tanjung Tokong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 33 tahun tersangkut di sengkuap tingkat lima sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

"Ketika di lokasi, didapati lelaki terbabit berada di sengkuap tingkat lima selepas terjatuh dari tingkat enam," katanya.

"Abang mangsa juga turun ke sengkuap tingkat lima dan memeluk mangsa supaya tidak terjatuh.

"Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas bagi memotong jeriji sebuah tingkap di tingkat lima dan mengambil masa kira-kira satu jam bagi menyelamatkan mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Lelaki terbabit yang mengalami kecederaan ringan di kaki menerima rawatan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan operasi tamat pada jam 10.16 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 1:41 PM