Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Johor membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk pelaksanaan majlis akad nikah bagi tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan bagi mengimarahkan masjid dan surau dibenarkan mulai esok, manakala majlis akad nikah di lokasi tertentu bermula Ahad ini.

Menurutnya, program membudayakan al-Quran, kuliah meliputi Maulidur Rasul, umum, khas, dhuha, Zohor dan kuliah Jumaat, selain mini forum, taklimat serta kursus adalah dibenarkan, namun terhad bagi tempoh satu jam sahaja.

"Penceramah hanyalah yang bertauliah dalam Johor sahaja sama ada kuliah secara bersemuka atau secara atas talian.

"Majlis zikir, selawat, program wirid dan tarikat juga dibenarkan bagi tempoh satu jam dan terhad kepada ahli kariah dalam daerah sahaja.

"Mesyuarat dan program gotong-royong pembersihan masjid serta surau dibenarkan, namun program membabitkan bermalam adalah ditangguhkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kehadiran pegawai masjid dan surau, ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau, penceramah serta jemaah adalah kepada mereka yang lengkap menerima suntikan vaksin, selain pengecualian vaksin hanya yang mempunyai perakuan bertulis dari Pejabat Kesihatan Daerah.

"Aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan, selain juadah hendaklah dibungkus untuk dibawa pulang oleh jemaah.

"Dalam pada itu, majlis akad nikah dibenarkan di lokasi meliputi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Pejabat Kadi Daerah, dewan dan balai raya, selain 91 dewan masjid serta 14 dewan surau terpilih.

"JAINJ akan mengeluarkan pekeliling terkini berkaitan majlis akad nikah dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:56 PM