ANTARA arak yang dirampas semalam. FOTO ihsan PGA Briged Tengah.
ANTARA arak yang dirampas semalam. FOTO ihsan PGA Briged Tengah.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas pelbagai jenis arak dan rokok bernilai RM1.8 juta, semalam.

Serbuan dijalankan pegawai dan anggota Cawangan Risik Briged Tengah PGA Cheras jam 5.30 petang di tiga lokasi sekitar Sungai Besi dan Puchong.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan itu menemui 7,956 tin bir dan 958 botol wiski.

Menurutnya, serbuan kedua pula polis merampas 116 kotak arak pelbagai jenama, dan 19 kotak wiski pelbagai jenama selain 450 karton rokok pelbagai jenama, membabitkan 90,000 batang rokok.

"Dalam serbuan ketiga pula merampas 10 kotak arak dan tujuh kotak wiski pelbagai jenama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, serbuan sama juga menahan tiga lelaki dan dua wanita Myanmar berusia 29 hingga 52 tahun.

Muhammad berkata, pada hari yang sama juga, Cawangan Risik Batalion 6 Muar menyerbu premis di Bukit Gambir jam 7 malam.

Katanya, serbuan itu berjaya menahan lima lelaki tempatan dan empat lelaki Indonesia berusia 17 tahun hingga 50 tahun.

"Serbuan yang dijalankan merampas 36 tong pati wiski sebanyak 7,200 liter dan 1,353 botol wiski pelbagai jenama.

"Dengan penahanan suspek dan rampasan yang dibuat, polis percaya dapat melumpuhkan sindiket pengedaran minuman keras dan rokok tanpa cukai sekitar Lembah Klang dan Muar," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967, Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 74 Akta Eksais.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2021 @ 10:07 PM