ROKOK dan arak seludup yang dirampas. FOTO NORSYAZWANI NASRI
ROKOK dan arak seludup yang dirampas. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


CUBAAN menyorok rokok dan arak seludup bernilai RM260,539 di dalam stor bagi menggaburi pihak berkuasa gagal selepas premis di Permyjaya, Miri diserbu tengah hari semalam.

Serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Operasi Libas pada 12 tengah hari itu berjaya merampas rokok dan arak seludup itu.

Pegawai Pemerintah Batalion 12 PGA Superintendan Tan Hiap Seng berkata, pemeriksaan dilakukan pihaknya di dalam stor premis terbabit menemui 311,960 rokok putih dan kretek pelbagai jenama sebanyak 1,704 karton yang bernilai RM242,339.20.

"Turut ditemui ialah 77 kotak bir jenis tin bernilai RM11,550 dan 35 kotak bir jenis botol bernilai RM6,650," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa penjaga premis yang berusia 31 tahun turut ditahan.

"Suspek bersama barang rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 6:25 PM